A scribble of my mind and heart.....

Tuesday, July 24, 2012

RAMADHAN...

... apa yang saya kurang suka,

http://nurhafiz2009.blogspot.com

Saya sukakan Ramadhan. Detik-detik menanti ketibaan Ramadhan sememangnya mengujakan. Tapi saya bukanlah orang rajin berpuasa sunat Rejab dan Syaaban. Bab ini saya culas. Buat yang ala kadar sahaja. Itulah kelemahan saya. Sebelum sampai ke bulan Rejab, saya selalu berazam mahu memperbanyakkan puasa sunat, namun bila Syaaban berlalu... saya hanya mampu buat yang sedikit sahaja. Tahun depan... saya pasti berazam lagi. Insyallah!

Saya juga sukakan rasa syahdu yang lazat di pagi pertama Ramadhan. Rasa bersyukur kerana Allah panjangkan umur saya dan dapat bertemu dan melalui Ramadhan lagi untuk tahun ini. Semoga saya akan masih mampu berdiri menyambut Ramadhan di tahun-tahun akan datang. Masih adakah kesempatan untuk saya? Ada tanda soal di situ, kerana saya sudah memasuki fasa 'asar' yang bila-bila sahaja akan terpaksa menghadapi takdir Allah yang satu itu. Kalau pun umur saya panjang, tidak mustahil saya akan mengutip penyakit-penyakit yang nampaknya sudah biasa di zaman sekarang. Semoga Allah mengurniakan kesihatan yang baik untuk saya dan keluarga saya... Ameennn...

Banyak lagi perkara yang saya suka tentang Ramadhan. Saya suka kesyahduan waktu sahur. Saya suka rasa bersyukur waktu berbuka. Saya suka ikatan ukhuwah yang terjalin jika berterawih di masjid. Dan saya juga suka rasa yang menyelinap ke kalbu setiap kali saya cuba membaca Al-Quran ( jarang-jarang sekali saya dapat khatam). Moga tahun ini saya dapat menghabiskannya...

Namun, dalam banyak-banyak perkara tentang Ramadhan... ada beberapa perkara yang saya tidak suka. Taklah banyak, tapi ia seperti menganggu emosi saya...

Saya tidak suka dan sedih melihat insan seagama yang tidak segan silu makan di bulan puasa. Saya sakit hati melihat mereka berbaris di kedai-kedai mamak membungkus makanan. Saya geram melihat ada juga peniaga yang membuka gerai makanan dengan tujuan untuk menjual kepada orang yang tidak berpuasa. Saya sedih jika melihat para lelaki sasa membawa bungkus makanan sambil terkulat-kulat tersenyum memandang saya. Sebab itulah di kawasan saya, saya seboleh mungkin elakkan diri dari melalui tempat strategik seperti itu. Saya pernah membuat aduan ke Majlis Agama... namun redanya cuma seketika. Kerana, kesedaran itu sepatutnya datang dari diri sendiri. Ya Allah! Hanya Engkaulah yang berkuasa untuk menyedarkan mereka. Ameennn...

Kata bijak pandai dalam agama, Ramadhan bulan berpesta ibadat. Tapi kita pula sebaliknya. Kita berpesta makanan. Bazar Ramadhan tumbuh macam cendawan. Saya juga suka ke sana. Saya suka melihat beraneka juadah yang buatkan saya rambang mata. Namun saya tak suka dan tak sampai hati untuk berlalu melepasi muka-muka peniaga yang berharap agar pembeli singgah di gerai mereka. Terutamanya... jika saya lihat makanan masih penuh dan masa berbuka makin dekat. Kerana saya juga peniaga, saya cukup faham apa yang bersarang di hati mereka. Rasa tidak enak itu akan berlarutan hingga saya balik ke 'ofis' saya. Kalau ikutkan hati, saya mahu menolong dan membeli serba sedikit. Namun itu mustahil. Perut saya kecik aja. Dan saya bukanlah jenis yang makan banyak. Pertolongan itu akan menjadikan saya seorang yang membazir dan orang yang membazir itu saudara syaitan. Na'uzubillah!

Selain dari itu, saya kurang gemar dengan kekalutan semua orang di jalan raya. Lebih dekat dengan waktu berbuka, kita seolah-olah tak sabar untuk sampai ke rumah. Sudahnya... ada yang kemalangan. Rasanya lebih elok jika kita sediakan air mineral atau gula-gula. Berbuka sajalah bila sampai waktunya. Tak kiralah jika kita masih dalam perjalanan. Sampai di rumah nanti, makan ajalah secukupnya. Betul tak?

Hmm.... sebenarnya, perasaan suka itu, tentunya melebihi isu-isu yang membuat saya
tidak sukaDan yang tidak suka itu memerlukan perubahan dan kesedaran diri 
masing-masing. Doa saya, semoga Ramadhan kali ini akan menjadi yang lebih baik 
dari sebelumnya... Insyallah!


Photobucket

2 comments:

eni said...

selamat berpuasa dan selamat menyambut bulan yg mulia...bila kak khiroh guna saya..rasa mcm org lain pula yg berbicara...hehe...

Packy @ Mawar Merah said...

Selamat juga untuk Eni, haha... ada orang kata, guna aku macam kasaq. Tak pa... kita berubah sket. :)

awesome comments